Saturday 9 December 2017

SEJARAH DAN ASAL USUL KENINGAU



Keningau merupakan bandar kelima terbesar di Sabah selepas Tawau dan Lahad Datu dan merupakan sebuah kawasan yang terletak di kawasan pedalaman Sabah yang telah berkembang maju menjadi bandar.

Menurut cerita orang dulu-dulu, Keningau merupakan sebuah perkampungan yang banyak ditumbuhi oleh pohon kayu Manis atau lebih dikenali sebagai “Pokok Keningau”.

Dalam bahasa suku kaum Murut mereka menyebutnya sebagai “Kayu Keningau” iaitu sejenis rempah yang digunakan untuk memasak. 

Kedatangan orang Inggeris di kawasan tersebut menjadikan kulit Kayu Keningau menjadi salah satu bahan eksport mereka, yang secara tidak langsung kawasan pendalaman menjadi pengeluar kulit Kayu Keningau yang penting ketika itu.

Akhirnya, kawasan tersebut dipanggil Keningau sehingga wujud sebuah bandar yang paling maju dan menjadi pusat pentadbiran di kawasan pedalaman Sabah.

Kayu Manis mendapat permintaan yang tinggi dari saudagar-saudagar luar menyebabkan daerah Keningau menjadi terkenal dengan produk tempatan.

Daerah Keningau mendapat gelaran “Kampung Keningau” daripada saudagar-saudagar yang datang ke daerah ini.

Gelaran ini diberikan sempena nama pokok kayu Koningau bagi memudahkan saudagar luar mengenali kawasan utama sumber kayu manis. Mengikut istilah saintifik kayu manis disebut dengan nama Cinnamomun Burmannii.

Menurut sejarah, Keningau merupakan sebahagian daripada wilayah Brunei semasa Pemerintahan Kesultanan Brunei dan Sulu, sekitar tahun 1860an. 

Pada masa itu, Keningau merupakan pusat perdagangan rempah ratus terbesar di wilayah Brunei.
Mungkin tidak salah kalau dikatakan bahawa daerah Keningau adalah antara kewasan paling sejuk di Sabah selepas Kundasang.

Pada tahun 1980an dan sebelumnya, penulis masih teringat apabila bangun setiap pagi, suasana dingin begitu terasa sehingga menggigit ke tulang sum-sum. Sangat sejuk sehinggakan minyak masak di dalam botol plastik turut membeku.

Pada ketika itu hutan Keningau belum lagi habis digondolkan oleh kapitalis-kapitalis yang mengaut keuntungan lumayan atas nama pembangunan.

Begitu juga beberapa ketika lalu, ketika negara dilanda angin sejuk Siberia, daerah Keningau antara kawasan paling sejuk di Malaysia dengan suhu cuaca di bawah 18 darjah selsius.

Tapi awas, pada waktu siang, sememangnya Keningau sangat panas.


No comments:

Post a Comment